Isnin, 13 April 2009

Adat Perkahwinan

Cara perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Brunei pada hari ini sebenarnya sudah banyak berbeza dengan yang terdapat dalam tahun 20-an hingga tahun 60-an dahulu. Banyak adat dan pantang larang sudah ditinggalkan dan banyak pula yang telah ditambah dan dicampur adukkan.

Bagi masyarakat suku kaum Brunei di kampung Pimping Membakut ini pula, sebelum si teruna dan si dara itu di satukan menjadi sebuah keluarga, mereka mesti melalui beberapa peringkat adat yang perlu diikuti antaranya ;

Merisik
Bejarum(meminang)
Bertunang
Menghantar belanja
Akad nikah
Bersanding

Sebenarnya ada banyak lagi yang perlu diikuti oleh masyarakat di kampung Pimping ini, umpamanya, adat menandai. Memang menjadi adat bagi orang orang Melayu Brunei pada masa dahulu. Untuk mengatur terlebih dahulu pasangan anak-anak mereka sejak kecil lagi atau disebut sudah ditandai. Mereka yang sudah tandai ini tidaklah dapat secara bebas untuk melihat wajah tunangan mereka. Selalunya kalau mereka benar-benar ingin melihat wajah tunangan, mereka terpaksa mencuri pandang, atau si dara terpaksa mengintai dicelah-celah langsir hingga adakalanya cuma dapat mendengar suara. Bibit-bibit percintaan orang-orang kita dahulu hanya akan berputik setelah perkahwinan berlangsung. Namun demikian, menandai semasa kecil tidak lagi dijalankan sebilangan besar suku kaum Brunei pada hari ini.






Merisik
Dari segi prinsipnya, merisik bermaksud menyiasat dengan lebih dekat lagi tentang kedudukan seseorang perempuan itu sama ada sudah bertunang atau sebaliknya. Hal ini mungkin ada kaitannya dengan tegahan Rasullulah S.A.W mengenai lelaki yang membuat pinangan terhadap wanita yang telah bertunang. Pada kebiasaannya, apabila si teruna itu sudah terpikat pada si dara atau sudah berkenan, disebabkan terpandang wajah atau mendengar cerita-cerita melalui orang kampung, si teruna terpaksa menyatakan hasratnya itu kepada orang tuanya. Dengan mengatakan ‘‘aku bergunakan akan anak si anu....’’ atau “kawinkan ku sama anak si anu” yang bermaksud ingin mendirikan rumah tangga. Maka keduanya pun berbincang menyelidiki keluarga dan keturunan si dara tersebut. Kalau keduanya bersetuju, maka mereka akan menyuruh orang lain untuk merisik.

Rombongan merisik ini biasanya terdiri daripada 2 hingga 4 orang. Iaitu saudara kepada orang tua si teruna atau yang mempunyai pertalian saudara seperti makcik atau pakcik, tidak kira sama ada dari adik beradik sebelah bapa atau ibu si teruna. Kerja merisik perlu dijalankan secara berhati-hati, tidak tergesa-gesa. Sebab itu orang-orang dalam masyarakat Brunei ini, mencari seseorang (sebagai ketua rombongan)yang betul-betul pakar dalam merisik ini, supaya boleh menambat hati serta petah pula berkata-kata.

Kalaulah ‘bunga’ yang dihajati itu belum disunting orang dan kerja merisik tadi mendapat persetujuan yang baik, maka rombongan tadi akan pulang dengan membawakan pengkhabaran yang baik kepada si teruna. Seterusnya mereka akan mengatur pula bagi adat seterusnya iaitu bejarum atau disebut juga sebagai ‘meminang’.

Salah satu contoh bahan hantaran yang dibawa semasa bejarum







Bejarum
Adat bejarum atau meminang ini, sebenarnya ada kaitannya dengan adat merisik. Jika ada tanda-tanda yang positif sewaktu merisik itu, barulah adat bejarum dilaksanakan sebagai lanjutannya. Bagi masyarakat suku kaum Brunei di kampung Pimping ini, adat bejarum dilaksanakan setelah memilih hari baik bulan baik menurut kalendar Islam terlebih dahulu. Hal ini dipercayai supaya hasilnya juga akan menerima kebaikan kelak. Pada kebiasaannya, rombongan berjarum ini disertai oleh 3 hingga 5 orang tua-tua yang diketuai oleh seorang lelaki sebagai wakil ibubapa si teruna. Apabila tiba di rumah si dara, mulalah mereka bermadah-madah dan berpantun-pantun bagi menyatakan tujuan kedatangan mereka.
“… adapun hajat kami ani ke mari, sebagai mewakili bapa dan mama si anu …..(disebutkan namanya) akan mautah turut menungkat gelaggar yang patah, menganti lantai yang mumut, menyisip-nyisip atap yang miris ….”

Walaupun bahasa yang digunakan oleh rombongan itu mendalam dan penuh dengan simbolik, tetapi ibubapa si dara dapat memahami akan maksud mereka. Maksudnya, “… adapun tujuan kedatangan kami ke sini adalah diwakilkan oleh orang tua si ….. (disebutkan namanya) untuk menyunting bunga di jambangan.

Sebenarnya, maksud mereka dengan, “turut menungkat gelaggar yang patah, menganti lantai yang mumut dan menyisip-nyisip atap yang miris” adalah untuk menjadi keluarga dan mengikat tali pertunangan. Sekiranya masih belum lagi disunting, maka dinyatakan persetujuan dan kerelaan untuk menerima tawaran itu.
Jika sekiranya sudah ada yang menyunting maka dinyatakan “ … gelaggar sudah ditongkat, lantai sudah diganti dan atap jua sudah ditambal’.” Dan kalaupun belum ada yang meminang, tetapi pada fikiran orang tua, si dara masih belum lagi sampai masanya untuk bersuami, pinangan si teruna akan ditolak secara halus dengan menyatakan, “…. Gelaggar lakat lagi baik, lantai jua inda mumut dan atap pun inda miris.”

Walaupun demikian, adat berpantun dan bermadah-madah kini tidak lagi dijalankan secara mendalam. Kalaupun ada, kebanyakkannya lebih kepada ‘street to the point’ dalam menyatakan hasrat dan tujuan mereka. Kesimpulannnya, jika sekiranya hajat bejarum ini mendapat kata sepakat yang baik, maka akan ditetapkan pula hari yang sebaik-baiknya untuk upacara “menghantar tanda pertunangan”.
Salah satu contoh bahan hantaran yang dibawa semasa bejarum

Menghantar tanda pertunangan
Sebaik sahaja selesai adat berjarum tadi, maka upacara menghantar tanda pertunangan pula akan dijalankan. Ini dilakukan adalah sebagai ikatan pertunangan antara mereka. Jangan pula nanti kata pepatah Brunei “ayam terlepas, tangan bau tahi”. Adat menghantar tanda pertunangan ini akan dilakukan secepat yang boleh selepas sahaja upacara bejarum dijalankan dan setelah mendapat lampu hijau.

Dalam upacara menghantar tanda pertunangan ini, rombongan terdiri daripada ibu bapa si teruna berserta sanak saudara yang terdekat. Biasanya rombongan ini lebih ramai daripada semasa merisik dan bejarum. Mereka akan membawa;

Sedikit wang (lebih kurang RM 50 hingga 120).
Sebentuk cincin (berlian/ emas).
Sirih junjung.
Lain-lain kelengkapan seperti kasut, kain baju dan lain-lain lagi buat menambat hati gadis.

Barang-barang tersebut biasanya akan diletakkan di dalam beberapa biji dulang (gangsa) dan digubah dengan cantik. Bagi pihak si dara, mereka tidak akan membiarkan pihak lelaki pulang dengan dulang yang kosong. Oleh itu, mereka juga akan menyediakan barang-barang yang sesuai untuk diisi di dalam dulang (sebagai balasan).

Setelah rombongan lelaki tiba di rumah pihak perempuan, mereka akan disambut dengan penuh istiadat oleh keluarga pihak perempuan. Setelah menyatakan maksud kedatangan mereka (biasanya oleh ketua rombongan sama ada oleh bapa si teruna atau wakil), maka dinyatakan juga barang-barang yang dibawa sebagai mengiringi adat menghantar tanda pertunangan itu.Upacara yang penting sekali dalam adat menghantar tanda pertunangan ini ialah upacara menyarungkan cincin ke jari manis gadis yang ditunangi (biasanya oleh ibu lelaki atau wakil). Maka si gadis tadi akan bersalaman dengan bakal ibu mertua serta saudara-mara pihak lelaki yang datang.

Setelah selesai upacara menyarungkan cincin, menandakan pertunangan sudah diikat, maka perundingan pula perlu dibuat. Pihak perempuan pula akan akan memaklumkan penentuan ongkus mahar mas kahwin. Ini termasuklah jumlah berian, lunau, belanja hangus, pelangkahan dan sebagainya.

Pada kebiasaannya berian yang diminta adalah seperti;
Mas kahwin (kini biasanya RM 80 hingga 120)
Lunau (seekor kerbau jantan besar)
Belanja hangus (RM 1000 hingga 5000)
iv. Ketiduran (mengikut harga katil dan almari pakaian serta perhiasan bilik sekarang).
v. Perlangkahan RM 100 (jika terdapat kes langkah bendul).
vi. Adat melangkah sungai-sungai (RM 10).
vii. Dan lain-lain lagi.
Selain daripada itu, kadang-kadang pihak keluarga perempuan menetapkan sendiri jumlah berian itu, misalnya RM 5000 serba satu. Hal ini mungkin dapat memudahkan pihak lelaki untuk tidak menyediakan perkara-perkara yang lain selain wang tersebut. Dalam adat perkahwinan suku kaum Brunei di Kampung Pimping ini tidak tidak terdapat sebarang undang-undang yang menetapkan jumlah berian yang diminta. Penentuan jumlahnya adalah bergantung kepada persetujuan daripada kedua belah pihak dengan didasarkan kepada kedudukan ekonomi orang yang meminang.

Oleh kerana perkara penetapan berian ini dimaklumkan oleh orang tua bakal pengantin perempuan di hadapan majlis, maka jarang berlakunya tawar-menawar yang dibuat oleh orang tua bakal pengantin lelaki. Hal ini mungkin dianggap sebagai satu keaiban bagi mereka. Justeru itu, sebaliknya orang tua bakal pengantin perempuan pula jarang meletakkan jumlah harga yang tinggi kerana takut pula dituduh ‘menjual anak’. Namun demikian, mas kahwin atau berian ini sebenarnya adalah suatu yang dituntut dalam perkahwinan kerana ia suatu ‘penentuan’ yang ditetapkan oleh islam. Penentuan yang dimaksudkan di sini, bukanlah penentuan dari jumlah berian itu, tetapi penentuan dari segi hak, lelaki sebagai pengeluar atau pembeli dan hak perempuan sebagai penerimanya.

Perihal dalam penetapan berian ini juga sebenarnya, melalui satu perjanjian atau berbatu-batu mengikut adat suku kaum Brunei Kampung Pimping. Dalam perjanjian ini, hantaran akan dianggap hilang atau terhapus jika sekiranya pihak lelaki yang ingkar, sama ada tidak mahu kahwin atau berubah fikiran di saat-saat akhir iaitu setelah upcara adat menghantar berian dilakukan. Sebaliknya kos berganda dikembalikan jika bakal pengantin perempuan yang berlaku curang. Sehubungan dengan itu, perkara yang perlu dibincangkan juga semasa majlis menghantar tanda pertunangan itu adalah penetapan tarikh untuk upacara majlis menghantar berian. Hal ini akan dipilih pada hari yang baik, bulan baik mengikut kalendar Islam, dan dengan persetujuan kedua belah pihak.


Salah satu contoh bahan hantaran yang dibawa semasa bejarum





Menghantar Berian.
“Mahar” atau “mas kahwin” lebih dikenali sebagai “berian” bagi masyarakat Brunei di Kampung Pimping ini. Adat istiadat ini dibuat lebih meriah lagi dari majlis sebelumnya dengan dihadiri oleh para jemputan dan sanak saudara kedua belah pihak. Hal ini adalah sebagai lanjutan selepas upacara menghantar tanda pertunangan dan setelah pihak lelaki bersedia dengan ‘berian’ yang diminta oleh pihak bakal pengantin perempuan. Kebiasaannya upacara menghantar berian ini sekaligus diadakan kenduri kesyukuran dengan hidangan kuih muih serta campur di rumah pihak bakal pengantin perempuan.

Barang-barang hantaran berian yang disediakan oleh pihak lelaki seperti:
Wang tunai - sebagai berian mas kahwin yang digubah dan diletakkan di atas dulang yang dihias dengan cantik.
Wang belanja hangus - disimpan di tempat yang istimewa, dibawa dalam satu dulang tembaga/ gangsa berkilat, dialas dengan kain yang indah rupanya serta wangi baunya. Ini akan dibawa oleh orang yang boleh diharap dan amanah dalam rombongan tersebut.
Perlangkahan - (Jika ada) bagi kes langkah bendul biasanya wang tunai dan perhiasan seperti sebentuk cincin ataupun pakaian (dalam beberapa helai).
Barang-barang pengiring – Barang-barang seperti sepasang kasut yang cantik, tudung kain, telekung, beg tangan dan lain-lain lagi adalah sebagai tanda kasih bakal pengantin lelaki kepada bakal isteri.
Bagi penghantaran lunau iaitu seekor kerbau jantan yang besar, biasanya dilakukan kemudian beberapa hari atau seminggu sebelum majlis perkahwinan. Kalau kita perhatikan di sini, mengapa adat perkahwinan orang melayu brunei ini menjadikan kerbau sebagai lunau dalam mahar perkahwinan? Sebenarnya lunau ini (kerbau) akan disembelih untuk dijadikan lauk semasa hari perkahwinan nanti. Hal ini mungkin sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan lagi perbelanjaan majlis perkahwinan pihak bakal pengantin perempuan itu.

Penentuan mengenai dengan tarikh untuk melangsungkan upacara perkahwinan akan diminta oleh ketua rombongan bakal pengantin lelaki, semasa majlis menghantar berian ini. Makluman tarikh berkenaan merupakan sesuatu yang dianggap penting kerana, disamping kedua belah pihak dapat membuat persediaan awal, para hadirin juga akan dapat mengetahuinya. Bila masanya mereka akan berurung-urung serta sebagai peringatan kepada mereka supaya tidak mengadakan majlis-majlis atau upacara yang serupa atau yang lain semasa tarikh tersebut.

Biasanya tempoh yang ditetapkan untuk melangsungkan majlis perkahwinan itu ialah dalam 1 hingga 3 bulan selepas hari menghantar berian. Jangka masa ini akan dapat memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk memaklumkan kepada kaum kerabat yang jauh serta dekat supaya dapat bersama-sama dalam majlis yang akan diadakan itu. Selain daripada itu, ia juga dapat memberikan peluang kepada kedua belah pihak untuk mengumpul perbelanjaan yang lebih, bagi persediaan majlis yang lebih besar lagi daripada majlis yang terdahulu.
Umumnya adat istiadat yang tersebut di atas memang telah menjadi amalan bagi masyarakat Brunei di Kampung Pimping ini. Bermula daripada adat merisik, berjarum, menghantar tanda pertunangan seterusnya menghantar berian, dikatakan sebagai upacara peringkat awal perkahwinan. Bagi mereka, perkahwinan bukanlah suatu pekerjaan yang mudah dan tergesa-gesa, sebaliknya hendaklah dengan berhati-hati dan teliti mengikut adat resam dan tatasusilanya.

Namun demikian, terdapat juga beberapa kes perkahwinan di dalam masyarakat suku kaum Brunei ini, yang tidak mengikut adatnya. Misalnya, bakal pengantin perempuan telah berbadan dua ataupun seperti kes menaiki iaitu si gadis telah meniduri lelaki (di rumah lelaki tersebut) dan dia tidak mahu pulang ke rumah keluarganya. Kes-kes seperti ini dianggap sudah melanggar adat dan memalukan keluarga sendiri. Jika berlakunya kes-kes seperti ini, maka ia hendaklah segera disatukan bagi mengelakkan pelbagai perkara buruk dan fitnah. Cara dan kaedahnya mungkin lebih ringkas berbanding yang biasa diamalkan yang mengikut adat. Ini kerana, adat seperti merisik, berjarum dan bertunang akan ditinggalkan sebaliknya terus kepada perbincangan antara kedua orang tua mereka mengenai jumlah berian (biasanya lebih rendah nilainya dan lebih singkat masanya). Bagi upacara melangsungkan perkahwinan mereka ini akan dilaksanakan secepat mungkin dalam tempoh seminggu hingga 3 minggu dari tarikh kes ini bermula.



Adat dan suasana menjelang hari perkahwinan
Terdapat beberapa adat dan upacara yang dijalankan sebelum dan semasa menjelangnya hari majlis perkahwinan. Antaranya ialah:

Memucang-mucang
Memberitahu dan menghantar kad jemputan.
Hari pernikahan.
Hari mengelupis.
Malam berbadak. Jamuan jemputan dan hari naik kahwin.

Perhimpunan keluarga salah satu acara semasa malam berbadak

Memucang-mucang.
Sebulan sebelum menjelangnya hari persandingan, rumah kedua-dua bakal pengantin ini kelihatan mulai sibuk. Bagi kaum lelaki, mereka akan merancang dan bermesyuarat bagi menetapkan kerja memucang dan membaiki rumah, menganti tiang-tiang yang patah, menambah tiang-tiang sokongan, menganti lantai-lantai yang mumut, membina pantaran dan menungkat tangga usang.

Manakala seminggu sebelum hari perkahwinan berlangsung, memucang atau gotong-royong sekali lagi akan diadakan bagi penyediaan balairong sebagai tempat jamuan para jemputan, sulap kawah serta pantaran tempat mencuci dan mentuskan pinggan dan gelas. Selain daripada itu, terdapat juga upacara memucang yang diadakan bertujuan mengambil daun silat di dalam hutan untuk dijadikan sebagai pembungkus kelupis. Ini akan dihadiri oleh orang-orang tua yang berpengalaman dan tahu tentang selok-belok hutan.

Bagi kaum wanitanya pula, mereka akan membantu dalam persiapan yang ringan seperti penyediaan kuih tradisional serta makanan untuk menjamu mereka yang hadir dalam kerja memucang ini. Dalam penyediaan kueh tradisional, kuih seperti kuih bahulu, kuih jala, kuih cacah, kuih sapit serta makanan kering seperti kuripik ubi, meruku, kuih lidah dan sebagainya, adalah untuk menjamu tetamu yang datang meramaikan rumah pengantin dan juga untuk dijadikan campur semasa malam berbedak. Sungguhpun demikian, bakat dan kebolehan kaum wanita juga diperlukan dalam menghias bilik pengantin dan juga pelamin.

Pada ketika inilah, kelihatan keluarga kedua belah pihak berkumpul dan berhimpun bersama orang kampung terutamanya jiran yang terdekat akan turut bersama-sama menghidupkan semangat kejiranan dan budaya tolong-menolong ini. Konsep “hari ini kita tolong orang, esok orang tolong kita” memang telah menjadi amalan kehidupan mereka. Semoga semangat perpaduan dan konsep tolong-menolong ini akan menjadi teras dalam kehidupan mereka sekampung. “Hidup berjiran dikandung adat”.

Perhimpunan keluarga semasa hari perkahwinan merapatkan lagi ‘ kekeluargaan’



Adat menghantar kad jemputan dan memberitahu.
Jemputan bagi majlis hari persandingan biasanya telah diatur lebih awal lagi, sama ada melalui kad jemputan atau lagau mulut. Dalam penggunaan kad jemputan, kad-kad jemputan akan dibahagi-bahagikan dari rumah ke rumah mengikut kawasan yang terdapat dalam kampung itu. Selain daripada itu, bagi kawasan-kawasan yang jauh (diluar kawasan kampung itu), ianya akan dihantar lebih awal lagi kepada wakil kawasan tersebut untuk diedarkan kepada individu berkenaan. Sebaliknya bagi kad-kad jemputan sekitar kampung akan diedarkan dalam 2 minggu atau seminggu sebelum tarikh hari perkahwinan.

Menurut cara lagau mulut pula, seorang atau dua orang wanita yang separuh umur, serta berpengalaman baik budi pekerti, peramah dan dikenali ramai, akan berjalan dari rumah ke rumah keliling kampung untuk memberitahu akan majlis perkahwinan itu kepada penduduk kampung. Pakaiannya mestilah sopan, bersih dan kemas serta memakai tudung kepala. Apabila sampai ke sebuah rumah, dimulai dengan memberi salam. Kalau salamnya itu disambut, maka hendaklah mohon izin untuk naik ke rumah. Setelah bersalaman dan duduk serta bertanya khabar, maka berbual-buallah mereka sambil beramah mesra dengan penuh adab sopan. Kemudian barulah memberitahu akan tujuan kedatangan meraka itu.

“…..sebenarnya kedatangan kediaku (jika seorang) atau kedikami (jika berdua atau ramai) ani, diwakilkan oleh si anu ….. (disebut nama ibu bapa bakal pengantin) memberitahu biskita kan membawa berurung-urung pada sekian haribulan sekian kerana perkahwinan anaknya…..”

Pada kebiasaannya, selain daripada dinyatakan tarikh dan harinya, diberitahu juga aturacaranya secara ringkas. Contohnya, petang jumaat - majlis akad nikah, sabtu pagi – mengelupis, malam – berbedak atau berinai dan ahad –jamuan jemputan dan majlis naik kahwin atau bersanding.

Ahli keluarga berurung-urung dan berunding dalam permuafakatan menjayakan majlis





Akad nikah
Upacara akad nikah merupakan syarat utama dalam mengikat tali perkahwinan dan diiktiraf sah oleh agama Islam. Hal ini juga berdasarkan kepada lengkapnya rukun-rukun nikahnya yang merupakan satu prasyarat dalam pernikahan. Rukun nikah yang dimaksudkan termasuklah:

Ada calon suami.
Ada calon isteri.
Wali.
Dua orang saksi (beragama Islam).
Ijab dan Qabul.

Dalam adat perkahwinan suku kaum Brunei, majlis ‘akad nikah’ ini dilangsungkan di rumah bakal pengantin perempuan pada sebelah petang hari jumaat (kira-kira jam 2 hingga 3 petang), ataupun pada hari sabtu pagi (kira-kira pada pukul 10 hingga 11 pagi).
Majlis ini akan dimulakan dengan bacaan khutbah perkahwinan oleh jurunikah (yang diberi tauliah/diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam Sabah). Perkara ini perlu didengar dengan teliti oleh pengantin dan disaksikan oleh orang ramai sebagai peringatan kepada mereka. Setelah itu, jurunikah akan menyerahkan majlis ini kepada wali pernikahan (ayah pengantin perempuan atau wakil walinya).

Pada lazimnya, wali pernikahan akan menjalankan upacara akad nikah atau ijab kabul ini. Namun kadang-kadang, wali akan meminta jurunikah (imam) untuk mewakilkan upacara akad nikah atau ijab kabul berkenaan. Semasa akad nikah dijalankan (ijab dan kabul), dua orang saksi akan mendengar dan memerhati. Sebaik-baik sahaja selesai jawaban (kabul) dijawab dengan sempurna, semasa pengantin lelaki memeggang tangan imam, saksi tadi akan dirujuk oleh tuan imam untuk mendapatkan pengesahan mereka sama ada lafaz ijab dan kabul itu sempurna dan terang atau sebaliknya. Kemudian bacaan doa selamat pun dibacakan dan diaminkan oleh semua hadirin yang hadir.

Sebelum upacara akad nikah dijalankan, ada beberapa perkara lagi yang perlu dijalankan terlebih dahulu. Antaranya ialah:
Pengantin lelaki perlu,
Berwuduk terlebih dahulu.
Berlatih membaca dua kalimah syahadah dengan diperhatikan oleh tuan imam.
Membaca taklik perkahwinan.
Wali dan dua orang saksi bertanya kepada pengantin perempuan, sama ada suka dinikahkan dengan lelaki bakal suaminya itu.
Tuan imam / jurunikah akan membacakan khutbah pernikahan di depan pengantin lelaki dengan disaksikan oleh orang ramai.

Setelah selesainya upacara akad nikah ini, maka sahlah sudah ikatan pertalian mereka sebagai suami dan isteri. Namun demikian, bagi masyarakat Kampung Pimping umumnya, majlis perkahwinan sebenarnya tidaklah sampai disini sahaja bahkan ianya baru pada peringkat pertengahan dan perlu diperbesarkan lagi mengikut yang termampu.
Hari Mengelupis
Kelupis adalah sejenis kuih kebangsaan suku kaum Brunei. Mengelupis bermaksud proses untuk menyediakan kuih kelupis . Bagi masyarakat suku kaum Brunei di Kampung Pimping ini, dahulunya menganggap bahawa mengelupis adalah salah satu acara yang mesti ada pada setiap kali majlis perkahwinan diadakan. Perkahwinan tidak sah dari sudut adatnya jika tidak ada acara mengelupis.

Kalau kita perhatikan sendiri, proses penyediaan kuih kelupis ini, sebenarnya memang memerlukan banyak kerja dan ramai tenaga atau tidak keterlaluan jika kita katakan sebagai membazir. Namun sebaliknya jika kita kaji secara lebih mendalam, ternyata faedah dan realitinya cukup banyak . Bahkan juga ianya memupuk semangat kejiranan dalam kehidupan sekampung, kerjasama membantu-bantu antara satu sama yang lain.

Mengenai penyediaan kuih kelupis pula, daun silat atau daun nyirik perlu disediakan dengan lebih awal lagi. Biasanya daun ini boleh diperolehi jauh di dalam hutan dan kerja untuk mendapatkannya mengambil masa sehari suntuk. Bilangannya pula bergantung kepada jumlah beras pulut yang hendak dibuat kelupis tadi. Kemudian daun ini akan dikumpulkan dan dibersihkan lalu disimpan untuk kegunaan pada hari membungkus nanti.

Pada hari membungkus kelupis, dadih akan disediakan lebih awal. Dadih adalah hasil masakan beras pulut yang telah dibersihkan bersama dengan santan yang telah mendidih dan mengeluarkan minyak. Kemudian ianya dikacau sehingga kembang dan barulah dinamakan sebagai ‘dadih’. Dadih ini kemudiannya akan disimpan di dalam beberapa biji talam untuk diletakkan di dalam beberapa kumpulan perempuan untuk dibungkus dengan daun silat dan disemat dengan lidi kelapa. Maka jadilah ia sebagai kelupis mentah.

Proses yang akan dijalankan seterusnya adalah ‘menjalin’ atau mengikat kelupis tadi sebiji demi sebiji dengan susunan rapi antara 10 hingga 12 biji. Penjalin yang biasa digunakan ialah bamban yang telah dianit dan dijadikan tali. Namun pada zaman moden ini kadang kala mereka menggunakan tali rapiah. Kemudian setelah ianya siap dijalin, barulah kelupis ini direbus di dalam kawah sekali lagi untuk menjadikannya masak sepenuhnya. Kelupis yang masak ini akan dihidangkan untuk jamuan malam berinai dan jamuan hari jemputan serta untuk dibuat campur.










Malam berbedak
Majlis berbedak atau berinai ini pada lazimnya, dibuat pada waktu malam di rumah pengantin masing-masing. Ringkasnya, tujuan berbedak ini adalah semata-mata untuk menghias atau menambah seri dan kecantikkan wajah kedua-dua pengantin. Bak kata pepatah “seperti pinang dibelah dua”, lebih-lebih lagi ketika mereka berada dijinjang pelamin dan ketika diarak menjadi ‘raja sehari’ esoknya.

Pada masa dahulu acara malam berinai ini dijalankan serentak dengan upacara ‘akad nikah’ (ijab dan kabul). Namun demikian kini majlis akad nikah dan majlis berinai telah dibuat dalam dua majlis yang berasingan. Majlis akad nikah biasanya akan dibuat lebih awal sama ada sehari sebelum diadakan malam berbedak atau pada hari yang sama tetapi dalam waktu yang berlainan.Adapun adat berinai dan berbedak yang diamalkan oleh masyarakat brunei ini saling tak tumpah seperti amalan “Menapung tawar” yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Semenanjung Malaysia.

Bagi penyempurnaan majlis ini, terdapat beberapa bahan yang perlu disediakan (biasanya oleh orang tua yang pakar) untuk dibuat bedak dan berinai iaitu:
Tepung dedak.
Pandan wangi.
Beras kunyit ditumbuk halus.
Beras kuning.
Minyak wangi.
“Inai” atau “pacar” merah.

Kesemua benda-benda tersebut akan disediakan di dalam bekas (mangkuk) yang berasingan lalu diletakkan di dalam satu talam. Semasa majlis berbedak atau “menapung tawar” ini dijalankan, talam tadi akan diletakkan di atas meja kecil di hadapan sebelah kiri (kadang-kadang ditengah-tengah antara dua buah kerusi) di hadapan pelamin.


















Jenjang Pelamin
Pentas tempat berbedak atau bersanding bagi pengantin lebih dikenali sebagai pelamin. Pelamin ini biasanya akan disediakan dengan lebih awal 2 hingga 3 hari sebelum majlis malam berbedak. Pelamin ini akan dihias dengan cantik dan rapi dengan kain tabir lawangan dan lawangan persada yang dipasang di belakang pelamin (sebagai dinding). Hiasan bunga-bungaan yang menarik dan cantik tersusun di belakang dan bahagian tepi pelamin. Dihadapannya terpacak dua tunggul puan bunga-bungaan berwarna-warni serta dian dan hiasan bunga telur.

Di atas pelamin ini juga akan diletakkan dua buah kerusi (jika upacara berbedak tadi dijalankan dalam satu majlis bersama pengantin lelaki dan perempuan dalam rumah yang sama). Tetapi sebaliknya, hanya satu kerusi akan diletakkan bagi majlis berbedak yang dijalankan berasingan di rumah pengantin masing-masing. Walaupun ianya telah digunakan semasa malam berinai, tetapi sekali lagi ianya akan digunakan sebagai menyambut upacara kemuncak. Ini juga bertujuan supaya mereka dapat mengambil gambar bersama sekeluarga sebagai kenang-kenangan.

Upacara ini dimulakan dengan bacaan berzanji oleh jemputan khas, secara bergilir-gilir. Tetapi kadang-kadang ada juga yang dimulakan dengan acara khatam al-Quran (oleh pengantin sendiri) ini bergantung kepada kemahuan keluarga pengantin tersebut.

Ketika sampai bacaan berzanji tersebut pada selawat Nabi S.A.W , orang ramai akan berdiri serta lagu marhaban pun dibacakan bersahut-sahutan. Pengantin seterusnya akan dibawa keluar dari biliknya lalu duduk di atas pelamin untuk dibedaki. Kemudian seorang daripada wakil keluarga pengantin akan memilih seorang demi seorang (seramai 7 orang atau 9 hingga 14 orang) untuk ‘membedaki’. Maka kedengaranlah bunyi mercun dan tembakan senapang serta paluan gendang dan kompang, menandakan upacara majlis berinai bermula.

Adapun orang-orang yang dipilih untuk merinjis ‘tepung tawar’ atau ‘membedaki’ tadi adalah mereka yang benar-benar baik keturunannya serta tinggi ilmu kebatinannya supaya boleh menambah seri wajah mempelai itu kelak. Pada adatnya, mereka akan dihadiahkan dengan bunga telur atau kadang-kadang berbentuk kain sarung yang dibungkus rapi atau cepu telur dan lain-lain lagi. Setelah selesai upacara menapung tawar tadi, lagu selawat pun dihentikan, lalu hadirin pun duduk. Maka pengantin kemudiannya dibawa masuk ke bilik untuk upacara berinai atau berpacar (tangan dan kaki) dan selepas itu upacara mandi bedak. Kemudian bacaan doa berzanji dan doa selamat dibacakan seterusnya jamuan ringan dan campur diedarkan.

Bagi upacara mandi bedak yang diamalkan oleh suku kaum Brunai di Kampung Pimping ini ringkas sahaja. Ia sebenarnya adalah bertujuan untuk menghaluskan kulit pengantin. Dalam upacara ini, seorang wanita tua atau separuh umur akan mengalitkan tepung beras yang telah digaul dengan air ke seluruh bahagian muka, tangan, badan dan kaki pengantin.


Majlis Bersidondang
Menjelang tengah malam, iaitu kira-kira jam 12.00 tengah malam, majlis
‘bersidondang’ pula diadakan. Dalam majlis ini, kulintangan dan gendang digunakan sebagai pengiring acara berbalas pantun atau gurindam mengikut irama ‘bersidondang’ dan pukulan gendang ‘tidong’. Sebenarnya, majlis bersidondang’ ini diadakan adalah untuk menghiburkan pengantin di samping mereka yang sedang sibuk menyediakan masakan untuk jamuan jemputan pada hari esoknya.
“Dondang sayang ba’si dondang anak orang ….”

Kadang-kadang, terdapat juga acara yang dinamakan sebagai bergipin. Dimana satu pancaragam yang diundang khas untuk memainkan lagu-lagu serta tarian zapin dan gambus akan menghiburkan sehingga larut malam. Penonton juga boleh bersama-sama menari bersama penari undangan kumpulan pancaragam. Namun pada zaman moden ini, acara bergipin ini kadang-kadang ditukar kepada pancaragam lagu-lagu moden oleh pasukan band anak-anak muda. Walaupun konsepnya tetap sama, tetapi nilai-nilai tradisionalnya mungkin akan luntur bersama pemodenan seni muzik tempatan.
.






Jamuan jemputan Perkahwinan.
Jamuan jemputan ini biasanya bermula pada waktu pagi kira-kira pukul 8.00 pagi, sehinggalah masa bersanding atau masa naik kahwin. Cara hidangan jamuan makanan kepada para tetamu pada adatnya mempunyai dua cara. Cara yang pertama ialah cara layan diri (diamalkan sekarang) iaitu hidangan akan disediakan di atas sebuah meja yang besar, lalu hadirin akan mengambilnya sendiri mengikut suka hati mana satu yang dia ingin makan. Manakala cara yang kedua (cara lama) ialah hidangan yang dibuat terus kepada individu atau hadirin.

Para jemputan dijamu dalam acara jamuan makan


Bagi keluarga terdekat pengantin (orang dalam), mereka mempunyai tugas masing-masing. Ada di antaranya yang menjadi penyambut tetamu, melayan duduk, menghidang, membahagi bunga telur dan lain-lain lagi. Ketua keluarga pula akan berada dimuka pintu bersama-sama penyambut yang lain dengan penuh adab dan sopan. Biasanya ketua keluarga ini akan memakai pakaian yang kemas, berbaju melayu, bersongkok, bersamping serta memakai kasut. Hal demikian ini supaya dianggap lebih terhormat dan dianggap mulia oleh sesiapa sahaja yang datang.

Pada pukul 2.00 petang pengantin lelaki akan mula berangkat ke rumah pengantin perempuan (bagi mereka mempunyai jarak yang dekat). Sebaliknya lebih awal lagi bagi jarak rumah yang jauh. Sebelum itu, pengantin perlu mandi dan memakai pakaian yang dihias cantik.











Mandi Pengantin.
Dalam masyarakat brunei di Kampung Pimping, mandi pengantin adalah merupakan suatu adat yang mesti dan tidak boleh ditinggalkan. Biasanya, upacara ini akan dilaksanakan oleh seorang tok bomoh yang dianggap tinggi ilmu kebatinannya. Pada zaman dahulu, tok bomoh akan menjampi air di dalam ‘ipang’ atau ‘tajau besar’ setelah air tersebut dicampur dengan berbagai penawar dan langir secukupnya. Sebaik sahaja upacara ini bermula, mercun akan dibakar, gendang akan dibunyikan, manakala rebana akan dipalu dan bunyi tembakkan senapang akan kedengaran. Adapun tujuan sebenarnya diadakan adat mandi pengantin ini adalah untuk memberikan keyakinan kepada pengantin serta supaya pengantin terjaga dengan rapi dan selamat daripada cobaan orang-orang yang berdendam terhadap pengantin. Di samping itu juga ianya bertujuan untuk meningkatkan seri wajah pengantin tersebut.











Adat Menghias pakaian pengantin
Setelah selesai upacara mandi pengantin, adat menghias pakaian dan pengantin dijalankan. Menurut suku kaum brunei, pengantin tidak boleh / tidak dibenarkan untuk memakai pakaian pengantinnya sendiri. Sebaliknya dia akan dibantu memakai pakaian oleh orang yang pakar dalam menghias pakai pengantin. Sebab itulah, pengantin mesti dihiasi dengan pakaian yang cantik, didandan serta dibedaki seolah-olah bagaikan ‘raja sehari’. Pakaiannya lengkap dengan baju melayu (diraja), bertanjak di kepala, bersamping songket serta keris disisip dipinggang. Kemudian, sekapur sirih seulas pinang serta sigup kirai daun mesti ada bersamanya. Ini kerana supaya seorang pengantin (lelaki) itu seolah-olah seperti seorang raja sahaja lagaknya.

Bagi pengantin perempuan, tidak kurang pula hebatnya. Rambut akan disanggul rapi, wajahnya dicelak bersih, bulu mata dilentikkan. Setanding dengan pengantin lelaki bak kata orang, “sama tinggi sama rendahnya, sama cantik sama padannya”.









Majlis Naik Kahwin atau bersanding
Setelah selesai dihias pakai, kedua pelamin akan disandingkan atau lebih dikenali oleh masyarakat Kampung Pimping sebagai adat betimbang. Dalam majlis ini pengantin lelaki akan diarak berjalan menuju rumah pengantin perempuan. Sebelum berjalan, semua saudara mara serta sahabat handai akan berkumpul di rumah pengantin lelaki bagi mengiringi perarakkan pengantin tadi yang digelar ‘pengawai’.

Pemain kompang dan rebana bersedia dengan kompang masing-masing. bunga manggar sepuluh tunggul dipeggang dan dibawa oleh anak gadis sunti, serta dua tunggul bunga puan dibawa oleh muda belia. Apabila semuanya telah tersedia, upacara berarak ini pun dimulakan. Didahului oleh kumpulan kompang dengan paluan kompang masing-masing. Kemudian diikuti pengantin lelaki yang ditunda oleh tuan imam dengan memegang saputangan serta pengapitnya dan seorang pembawa barang pakaian persandingan lelaki. Barisan bunga puan dan bunga manggar yang dibawa oleh gadis-gadis sunti serta diiringi oleh orang ramai sebagai ‘Pengawai’ turut mengarak pengantin berjalan. Sebaik sahaja sampai di halaman rumah pengantin perempuan, Tuan Imam akan menunda pengantin lelaki untuk berpusing sebanyak 3 kali pusingan sebelum menuju ke tangga rumah. Pusingan ini lebih dikenali sebagai ‘putar naga’ bagi suku kaum Brunei di Kampung Pimping ini.

Sesampai sahaja di tangga rumah pengantin perempuan, seorang perempuan atau lelaki yang berumur lingkungan 50 hingga 70 tahun akan mengamburi beras kuning kepada pengantin lelaki. Sesudah itu, sampai di ambang pintu, tuan imam akan memulakan bacaan selawat ke atas Nabi s.a.w sebanyak 3 kali dan diikuti oleh orang ramai. Sewaktu ketibaan pengantin lelaki tadi, di hadapan rumah pengantin perempuan, telah berkumpul saudara mara dan sahabat handai pengantin perempuan berserta kumpulan kompang daripada pihak pengantin perempuan sebagai menyambut kedatangan pengantin lelaki.

Sebaik sahaja habis membaca selawat, pengantin akan memasuki rumah namun demikian pengantin lelaki tidak dibenarkan untuk memegang tangan pengantin perempuan untuk dibawa bersanding, sebelum ia membayar sejumlah wang untuk membuka kiap yang menutupi muka pengantin perempuan. Kemudian barulah pengantin dibolehkan memegang pengantin perempuan dan membawanya untuk majlis persandingan di atas pelamin.

Kini pukulan kompang semakin rancak , bunyi tembakkan dan mercun membingit telinga , pukulan gendang sambung-menyambung , maka pengantin pun keluar (ke serambi rumah) bagi memuaskan hati penonton / hadirin yang tidak dapat menyaksikan persandingan di jinjang pelamin.Demikian selesailah upacara persandingan

Melawat
Adat melawat bagi masyarakat brunei di kampung Pimping pada zaman dahulunya memang ada dibuat. Perkara melawat ini dibuat setelah pengantin lelaki berada di rumah pengantin perempuan (selepas ‘persandingan’ atau ‘naik kahwin’ ). Hal ini, mungkin terjadi disebabkan mereka (pengantin) belum pernah berpandangan mata atau bersahut kata. Tidak seperti keadaan kita pada hari ini. Adat melawat ini dilaksanakan dengan cara keluarga dari pihak pengantin lelaki akan mengutus sekumpulan ahli keluarganya ke rumah pengantin perempuan dengan membawa sedikit makanan di dalam sebuah atau dua buah talam. Makanan ini adalah untuk santapan lelaki di rumah pengantin perempuan.

Tujuan sebenar adat melawat ini adalah untuk menjaga keselamatan diri pengantin lelaki. Maklum sajalah, seperti yang kita tahu, orang-orang kita pada zaman dahulu mempunyai ilmu batin yang tinggi, bukan sahaja ilmu pengasih tetapi juga ilmu pemisah. Demi untuk menjauhi dari terkena perbuatan orang, maka mereka telah merancang dari awal lagi untuk mengadakan upacara melawat ini. Kalau sudah selepas dua hingga tiga hari bersama barulah terjamin keselamatan pengantin lelaki. Ini mungkin kerana mereka sudah berkenal-kenalan serta bemesra antara satu sama lain .

Namun demikian peredaran masa banyak mengubah suasana, kalau dulu anak berkahwin dengan pilihan ibu bapa, hari ini pilihan sendiri. Pada zaman dahulu mereka berkahwin barulah bercinta tetapi hari ini berlaku sebaliknya . Dengan ini adat melawat kini tidak lagi dititikberatkan .
Istiadat Meliwan
Istiadat meliwan ini bermaksud melawat keluarga pengantin lelaki. Bagi masyarakat suku kaum brunei di kampung Pimping, istiadat ini dilakukan setelah genap tiga hari tiga malam selepas istiadat bersanding tadi. Pengantin lelaki bersama-sama pengantin perempuan atau lebih jelas lagi suami isteri dan saudara mara serta sahabat handai dari rumah pengantin perempuan akan bersiap-siap untuk ke rumah pengantin lelaki. Tidak disyaratkan disini samada mereka mesti bermalam (tidur) atau tidak di rumah keluarga pengantin lelaki tersebut, terpulanglah kepada pengantin tadi. Bagi pihak keluarga lelaki mereka akan bersedia menyambut kedatangan anak menantu mereka dengan menjemput saudara mara dan jiran terdekat serta mengadakan kenduri dan doa selamat.

Kalau kita teliti dan amati, sebenarnya adat meliwan ini adalah untuk memperkenalkan isteri (pengantin perempuan) kepada keluarga pengantin lelaki . Selain itu meliwan juga mewujudkan kemesraan antara kedua belah pihak melalui upacara yang dilakukan seperti mengadakan majlis persandingan di rumah pengantin lelaki, bergendang atau bermain kulintangan mengadakan doa selamat dan kenduri serta lain-lain lagi

1 ulasan:


  1. A licensed Loan Lender, We offer Affordable Loan at 3% interest rate available for local and international borrowers, Are you seriously interested in getting a genuine Loan without stress? Do you need this Loan for business and to clear your bills? Then send us an email now for more details via:(majidvijahlending@gmail.com)

    LOAN APPLICATION FORM.

    (1)Full Name:
    (2)Country:
    (3)State:
    (4)Address:
    (5)Sex:
    (6)Occupation:
    (7)Amount needed:
    (8)Loan duration:
    (9)Loan purpose:
    (10)Telephone

    Email Us:(majidvijahlending@gmail.com)

    BalasPadam